fbpx
Bekalan eletrik terputus di Klinik Kesihatan Balok, Kuantan berpunca daripada kerosakan ELCB pada kotak pengagihan elektrik.

Kerja pergantian komponen punca KK Balok ‘blackout’ telah dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Masalah gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Klinik Kesihatan (KK) Balok di Kuantan, Pahang hari ini sehingga menjejaskan operasi fasiliti kesihatan itu dikenal pasti berpunca daripada kerosakan Earth Leakage Circuit Breaker (ELCB) di kotak pengagihan elektrik (DB Box).

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, beliau mengambil maklum mengenai isu ketiadaan bekalan elektrik yang menimbulkan kesulitan kepada petugas kesihatan, pesakit serta penduduk setempat ketika mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja penggantian komponen yang rosak telah dilaksanakan bagi memulihkan semula bekalan elektrik di fasiliti tersebut.

“Bekalan eletrik terputus berpunca daripada kerosakan ELCB pada kotak pengagihan elektrik (DB Box) dan saya telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian komponen telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, langkah susulan turut diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, beliau telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) supaya penilaian menyeluruh dilakukan terhadap keadaan kemudahan dan infrastruktur di Klinik Kesihatan Balok.

“Satu penilaian menyeluruh (perlu) dijalankan untuk mengenal pasti keperluan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di Klinik Kesihatan Balok bagi memastikan fasiliti kesihatan tersebut berada dalam keadaan yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan masyarakat untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Balok yang terus komited melaksanakan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk walaupun berdepan gangguan bekalan elektrik.

Beliau berkata, perkembangan isu tersebut akan terus dipantau dan segala tindakan sewajarnya bakal diselaraskan bersama agensi berkaitan demi memastikan kebajikan rakyat serta komuniti setempat sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN