KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti secara terperinci semua perkara melibatkan keselamatan negara berpandukan kerangka undang-undang dan Perlembagaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung isu melibatkan aspek ketenteraan dan perlembagaan negara.
Katanya, pihak kerajaan sedia maklum akan titah tersebut dan menzahirkan rasa hormat terhadap pandangan yang disampaikan oleh baginda
“Saya menjunjung kasih atas titah Pemangku Sultan Johor dalam perkara ini dan menzahirkan penghargaan terhadap perhatian baginda terhadap isu berkenaan.
“Umum sedia maklum bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan kenyataan berkaitan, khususnya melibatkan aspek ketenteraan, latihan, eksesais serta perkara berkaitan perlembagaan negara.
“Ia khususnya membabitkan aspek ketenteraan, latihan, eksesais serta perkara berkaitan perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Korban Perdana Lembah Pantai 2026 di Pustaka KL, Lembah Pantai, hari ini.
Tambah Fahmi, kerajaan sentiasa memandang serius setiap pandangan dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu.
“Sebarang isu yang menyentuh aspek pertahanan negara perlu dirujuk kepada agensi dan saluran berkaitan supaya penjelasan tepat dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor amat dukacita apabila terdapat pihak tertentu cuba mempergunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau sekadar untuk meraih perhatian dan populariti dalam media sosial.
Baginda bertitah, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara sedemikian, seseorang itu seharusnya memahami terlebih dahulu Perlembagaan Persekutuan termasuk perbezaan antara Negeri Bersekutu dan Negeri Tidak Bersekutu.-KOSMO! ONLINE














