fbpx
TUANKU Syed Sirajuddin (kanan) merasmikan majlis penutup Sambutan Hari Hutan Sedunia 2026 peringkat negeri di Bukit Ayer di sini hari ini

Pertahan khazanah biodiversiti negara – Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru rakyat agar bersama-sama mempertahankan khazanah biodiversiti negara supaya tidak dieksploitasi atau dibawa keluar oleh pihak luar yang hanya mementingkan keuntungan.

Baginda bertitah, pelbagai spesies tumbuhan unik dan bernilai tinggi yang terdapat di negara ini perlu dipelihara agar kekal berada di habitat asal untuk diwarisi generasi akan datang.

“Khazanah seperti tumbuhan, serangga atau haiwan ini kadang-kadang dikutip atau dipelihara sehingga orang luar dari negara-negara lain cuba membeli atau membawa pulang ke negara mereka.

“Tetapi kita (rakyat) mestilah menjaga apa yang ada di sini supaya ia kekal berada di tempat asalnya,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Penutupan Nakawan Rainforest Festival sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026.

Menurut Tuanku Syed Sirajuddin, terdapat laporan yang menunjukkan pihak tertentu dari luar negara datang untuk mendapatkan spesies tumbuhan tempatan tanpa mengambil kira kepentingan memelihara khazanah asal negara.

Baginda bertitah, golongan tersebut lebih melihat kepada keuntungan yang boleh diperoleh berbanding kepentingan memelihara sumber semula jadi yang menjadi warisan sesebuah negara.

“Yang penting bagi mereka ialah keuntungan dan manfaat yang boleh diperoleh. Oleh itu, saya menyeru masyarakat dan rakyat supaya menjaga apa yang terdapat di negeri dan negara kita agar ia tidak dibawa keluar ke negara lain,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi moden termasuk kaedah stem sel dan tisu kultur membolehkan spesies tumbuhan baharu dihasilkan hanya menggunakan sebahagian kecil bahan tanaman.

“Tidak mustahil jika saintis dari luar negara datang ke sini, melihat pokok atau tumbuhan yang luar biasa, mengambil sekeping daun lalu membawanya pulang ke negara mereka.

“Daun tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan tisu kultur dan melalui kaedah itu mereka boleh membiak serta memperbanyakkan spesies yang mereka kehendaki,” titah baginda.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN