fbpx

Keputusan kes rogol Paul Yong pada 7 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paul Yong Choo Kiong yang menghadapi tuduhan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

IPOH – Keputusan sama ada Paul Yong Choo Kiong perlu membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan rogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui pada 7 Disember ini.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi serta peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir pada akhir kes pendakwaan.

Hakim berkenaan memaklumkan beliau memerlukan masa untuk menyemak dokumen berkaitan termasuk hujahan kedua-dua pihak.

“Saya perlukan masa untuk semak dokumen, nota, bukti dan hujahan bertulis kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Terdahulu, Rajpal berkata, keterangan pihak pendakwaan adalah berdasarkan keterangan mangsa di mahkamah yang menyatakan Choo Kiong telah merogolnya dan laporan perubatan yang menyatakan koyakan baharu pada selaput dara.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan keterangan doktor, koyakan itu boleh berlaku sama ada secara paksa atau disebabkan oleh kemasukan objek atau organ tumpul seperti zakar, jari atau objek tumpul lain.

“Selain daripada bukti-bukti ini, mangsa juga memberitahu orang lain tentang kejadian rogol tetapi tidak ada bukti untuk menyokong fakta itu.

“Tidak ada bukti forensik atau ujian asid deoksiribonukleik (DNA) atau semen ke atas mangsa, walaupun mangsa dipercayai tidak mandi atau menukar baju selepas kejadian rogol itu berlaku,” katanya.

Tambah Rajpal, motif sebenar mangsa menuduh majikannya merogol adalah kerana dia mahu pulang ke Indonesia selain kemungkinan juga konspirasi politik.

“Mangsa cenderung untuk mereka-reka cerita kerana pada mula beliau datang ke negara ini, mangsa mendakwa dia muntah darah tetapi doktor yang merawat mangsa berkata perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Azlina memohon mahkamah melihat keseluruhan keterangan mangsa iaitu tindakan yang diambilnya selepas kejadian berlaku.

Katanya, mangsa tidak menceritakan kejadian berlaku kepada isteri, anak dan pemandu tertuduh adalah kerana dia berasa takut ekoran diugut.

“Walau tidak menceritakan kepada isteri, anak dan pemandu tertuduh, mangsa telah menghubungi Kedutaan Besar Indonesia sebanyak tiga kali iaitu sehari selepas kejadian. Ia telah disahkan melalui rekod panggilan,” katanya.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran penghujahan lisan, manakala hujahan bertulis telah difailkan pada 29 Oktober lalu.

Pada 28 September lalu, pihak pendakwaan selesai memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung iaitu mangsa dan individu yang membawanya membuat laporan polis.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April lalu.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI