fbpx
Mohd. Hafiz ketika ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi hari ini.

Lelaki hina Agong dalam TikTok dipenjara tiga bulan, denda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Tindakan seorang peniaga membuat hantaran jelik menghina Yang di-Pertuan Agong di aplikasi TikTok memakan diri apabila Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000.

Hakim Firdaus Md. Isa menjatuhi hukuman itu selepas Mohd. Hafiz Haron, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan bermula hari ini atau penjara tambahan empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mohd. Hafiz secara sedar didakwa membuat dan memulakan penghantaran komen jelik melampau sifatnya terhadap Sultan Ibrahim dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang dengan menggunakan TikTok pada pukul 7.30 pagi, 11 September 2025.

Hantaran itu kemudian dilihat seorang individu di sebuah kediaman di Taman Pelangi Semenyih 2, di sini pukul 10 malam hari yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal berbentuk pengajaran kepada OKS.

Bagaimanapun, Mohd. Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang menanggung tiga anak dan ibu yang uzur hanya berniaga dan melakukan kerja kampung.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN