fbpx
Anggota polis membawa Mohd. Zulkarami untuk didakwa atas pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol tiruan di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini.

Peniaga kain simpan senapang angin, pistol tiruan dipenjara 22 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Seorang peniaga kain dihukum penjara 22 bulan dan denda RM9,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol tiruan di rumahnya dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulkarami Ruslan, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki senapang angin buatan sendiri tanpa lesen yang sah di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Palas, Wakaf Bharu di sini kira-kira pukul 1 pagi, 16 November 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mohd. Zulkarami turut dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan di lokasi, masa dan tarikh yang sama. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala tertuduh diwakili penguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan, Roshalizawati Muhammad.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara 10 bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama manakala denda RM4,000 dan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan memiliki pistol tiruan.

Tertuduh bagaimanapun tidak membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN