KOTA BHARU – Seorang pemandu peribadi didakwa secara berasingan di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen atau along kepada tiga individu di depan sebuah kopitiam di sini pada tahun lalu.
Tertuduh, Yeap Chen Siang, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas masing-masing tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.
Di depan Rais Imran, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada seorang lelaki dan seorang wanita.
Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan sebuah kopitiam di Jalan Pendek di sini pada 20 April, 19 Jun dan 11 Ogos 2025.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah di depan Wan Mohd I’zzat atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada wanita sama dan seorang lagi lelaki lain.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di lokasi sama pada 13 Mac, 20 Mei dan 13 Ogos 2025.
Chen Siang didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nadzir Abdullah dan Ahmad Nabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam, Taufikrullah Rusli.
Terdahulu, Mohd. Nadzir mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Taufikrullah dalam rayuannya memohon jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan tertuduh baru sahaja kehilangan bapanya.
“Tertuduh juga masih bujang dan tinggal bersama ibunya. Mohon satu jaminan yang tidak membebankan kerana ikat jamin tersebut akan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.
Rais Imran kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Wan Mohd I’zzat pula RM8,500 selain menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar kesemua jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














