PUTRAJAYA – Peniaga yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma, dihukum penjara maksimum 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun yang dijatuhkan terhadap Rosmaini Abdul Raof, 43, sebelum ini.
Mahkamah juga turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan kepada Jahidah sebanyak RM25,000 menerusi ahli keluarga dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar pampasan itu.
Justeru dengan keputusan itu, Rosmaini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid.
Pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.
Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri Jahidah, 48, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan penjara sehingga 7 tahun dan denda, serta hukuman dua kali ganda tempoh maksimum seksyen kesalahan asas bagi kesalahan terhadap pasangan.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian yang menimpa Jahidah yang dilaporkan hamil.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Wanita itu dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.
Untuk rekod, pada 27 April lalu, polis mengesahkan suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights, Sungai Petani, Kedah adalah lelaki yang sama terlibat dalam kes pukul Jahidah. – KOSMO! ONLINE














