fbpx
Amira Aisya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

PRN Johor: Muda sasar 5 hingga 10 kerusi, pertahan Puteri Wangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyasarkan untuk bertanding antara lima hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan datang.

Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, Muda akan mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa memandangkan ia merupakan satu-satunya kerusi dimenangi parti itu pada PRN ke-15 yang lalu.

“Puteri Wangsa sudah tentu kita akan pertahankan. Kerusi ini milik rakyat dan kita bersedia berdepan mana-mana pihak yang ingin bertanding.

“Kami mengalu-alukan siapa sahaja nak datang bertanding bagi merebut kerusi Puteri Wangsa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar hari ini.

Menurut Amira Aisya, Muda kini dalam proses menilai beberapa kerusi berpotensi merangkumi kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar, termasuk kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini.

Tambah beliau, Johor merupakan antara negeri dengan keahlian Muda terbesar di negara ini, sekali gus memberi kelebihan kepada parti itu untuk menampilkan calon muda berkaliber.

Dalam pada itu, Amira Aisya berkata, perbincangan tidak rasmi dengan parti pembangkang lain tetap berjalan, namun keputusan muktamad mengenai agihan kerusi akan ditentukan di peringkat pimpinan pusat.

“Kita terbuka untuk bekerjasama, tetapi buat masa ini fokus kita adalah memperkukuh parti dan mengenal pasti kerusi yang sesuai untuk ditandingi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN