SHAH ALAM – Kehilangan seorang penunggang motosikal terungkai apabila mayatnya ditemukan selepas hampir 18 jam terlibat kemalangan di daerah ini, semalam.
Mayat lelaki berusia 40-an itu ditemukan di dalam longkang berhampiran pejabat Karangkraf, Seksyen 15 di sini, kira-kira pukul 11.40 malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja di sebuah syarikat kereta dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seksyen 25, kira-kira pukul 5.40 pagi.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan jatuh ke dalam longkang. Kemalangan mengakibatkan mangsa penunggang mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Tambah beliau, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Shah Alam mendapati punca kematian akibat cedera pada dada.
Omempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














