BESUT – Perbuatan licik seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT) menggunakan MyKad palsu untuk membeli minyak petrol subsidi menerusi Budi Madani RON95 (Budi95) membawa padah apabila dia didenda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurliyana Md. Zukri menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Aman Rasid, 39, membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan selesai dibacakan.
“Perbuatan tertuduh bukan sahaja memberi kesan kepada penerima subsidi bulanan Budi95 malah turut menjejaskan integriti dan sistem kawalan subsidi diwujudkan kerajaan,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Aman didakwa menggunakan kad pengenalan bukan miliknya untuk mengisi petrol menerusi Budi95 di sebuah stesen minyak di Alor Lintang, di sini, pada pukul 11.33 pagi, 1 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah stesen minyak di Kampung Raja, di sini, pada pukul 7.25 malam, 2 Jun lalu.
Aman juga didakwa menggunakan kad pengenalan bukan miliknya untuk mengisi petrol menerusi Budi95 di sebuah stesen minyak di Kampung Raja, di sini pada pukul 6.07 petang, 15 Jun lalu.
Kosmo! Online 30 April lalu melaporkan Aman pernah dihadapkan di mahkamah sama atas pertuduhan memiliki 12 MyKad palsu dan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7.11 gram.
Mykad palsu itu dipercayai digunakan untuk permohonan pinjaman peribadi menggunakan butiran peribadi palsu melibatkan kerugian keseluruhan RM40,000. – KOSMO! ONLINE














