fbpx
Samsuri Mokhtar pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

PN terima Pejuang, PCM sertai gabungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) menerima dua parti politik baharu sebagai parti anggota gabungan itu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung Pas, malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata, mesyuarat berkenaan tidak membuat sebarang ketetapan berhubung status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN.

Katanya, penggunaan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan juga tidak diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menjadi parti anggota Perikatan Nasional yang baharu iaitu Pejuang dan PCM,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, malam tadi.

Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 9.30 malam dan berakhir sekitar 12.30 tengah malam itu dihadiri wakil semua parti komponen PN.

Menurut beliau, mesyuarat hanya membincangkan dua agenda utama iaitu keanggotaan PN serta persiapan menghadapi PRN Johor.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya agihan kerusi bagi PRN Johor dimuktamadkan melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat esok bagi menyelesaikan rundingan kerusi sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.

“Setiap parti akan menghantar dua wakil dan rundingan itu akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

“Perbincangan itu turut diselaraskan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” katanya.

Mengulas suasana mesyuarat, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan berlangsung secara harmoni dengan semua pihak diberikan ruang mengemukakan pandangan masing-masing.

Katanya, terdapat pandangan yang sama dan berbeza, namun perkara itu adalah biasa dalam mana-mana mesyuarat sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Insya-Allah, esok perbincangan mengenai kerusi akan diselesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN