fbpx
Lay Hoon (dua kiri), melihat lakaran Projek Sambungan NPE 2, selepas mengadakan taklimat dan sidang akhbar mengenai projek tersebut di Pusat Kecemerlangan IJM, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

Projek NPE 2 siap sepenuhnya Oktober 2029

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Projek Sambungan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE 2) sepanjang 15.9 kilometer termasuk tanjakan arah dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif, Divisyen Tol IJM Corporation Berhad (IJM), Chua Lay Hoon, berkata, projek itu berjalan lancar seperti dijadualkan dan kini mencapai enam peratus pelaksanaan sejak kerja-kerja pembinaan dimulakan pada bulan lalu.

Beliau berkata, Pelan Pengurusan Trafik yang selamat telah dirancang bagi memastikan kelancaran trafik dan meminimumkan gangguan sepanjang tempoh pembinaan.

Sebarang hebahan berkenaan penutupan lorong atau lencongan trafik katanya, akan dilakukan dua hari lebih awal menerusi media sosial bagi memastikan para pengguna lebih bersedia.

“Keselamatan pengguna jalan raya dan komuniti setempat kekal menjadi keutamaan sepanjang tempoh pembinaan dan kami memahami ia mungkin menyebabkan sedikit kesulitan.

“Bagaimanapun, setiap penutupan lorong dan lencongan trafik juga telah dirancang dengan teliti bagi memastikan keselamatan awam dan meminimumkan kesesakan,” katanya ketika mengadakan taklimat kepada media, di sini hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, pengguna jalan raya bakal menikmati penjimatan masa perjalanan sehingga 25 minit menerusi Projek Sambungan NPE2 yang dibiayai sepenuhnya oleh NPE Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh IJM itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana itu dijangka menjadi penyelesaian strategik kepada kesesakan teruk di koridor Pantai Dalam–Bangsar–Mahameru.

“NPE2 akan mengalihkan kira-kira 200,000 buah kenderaan atau 40 peratus aliran trafik dari Jalan Bangsar ke pusat bandar sebaik ia beroperasi.

“Apabila siap kelak, pengguna boleh menjimatkan masa perjalanan dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya sehingga 25 minit dengan tahap perkhidmatan jalan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek NPE2, tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN