fbpx
Mohd. Sabri (dua kiri) menunjukkan tong gas yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan LPG bersubsidi di Semenyih, hari ini.

Ops Tiris 4.0: Sindiket ‘decanting’ LPG terbongkar di Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi secara haram dipercayai dijalankan secara tersusun di dua lokasi berasingan apabila pihak berkuasa membongkar sindiket berkenaan dalam Ops Tiris 4.0, hari ini.

Serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) serta KPDN Cawangan Kajang itu mendedahkan operasi melibatkan stor tanpa lesen yang dijadikan pusat pemindahan gas dari tong subsidi ke tong industri.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, serbuan bermula kira-kira pukul 8 pagi itu berjaya menahan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40-an di lokasi di Semenyih.

Menurutnya, pasukan turut menyerbu satu lagi premis di Wangsa Maju yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama dan menahan tiga individu termasuk seorang lelaki tempatan serta dua warga India.

“Keseluruhan rampasan melibatkan 570 tong LPG pelbagai kapasiti dengan jumlah berat sekitar 9,000 kilogram.

“Nilai rampasan dianggarkan RM185,000, manakala ketirisan subsidi yang dikesan hampir RM20,000,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket memperoleh bekalan tong gas bersubsidi daripada pemborong sebelum menjalankan proses ‘decanting’ (pemindahan) bagi memindahkan isi kandungan ke tong lebih besar untuk dijual kepada sektor industri.

Katanya, lokasi di Semenyih dipercayai berfungsi sebagai pusat pemprosesan, manakala transaksi dan pengedaran dipercayai dilakukan di sekitar ibu negara.

“Kita percaya kedua-dua lokasi ini saling berkait dan melibatkan syarikat pemborong berlesen. Tindakan tegas termasuk pembatalan lesen akan diambil,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi itu hasil risikan selama dua minggu dan siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti pemilik tanah yang digunakan sebagai stor haram berkenaan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN