fbpx
Seragam polis India dipercayai digunakan sindiket Macau Scam antara yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Helah ‘Inspektor Sunil’ terbongkar, sindiket Macau Scam tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Taktik menyamar sebagai polis India dengan menggunakan identiti palsu ‘Inspektor Sunil Kumar’ bagi memperdaya mangsa terbongkar apabila satu sindiket penipuan Macau Scam berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis di ibu negara, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi oleh Bahagian Risikan dan Operasi JSJK itu dijalankan pada 23 April lalu hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penipuan berkenaan.

Menurut beliau, seramai 22 individu ditahan bagi membantu siasatan.

“Tangkapan melibatkan dua lelaki warga Taiwan, 13 warga Pakistan (12 lelaki dan satu perempuan), enam warga India (empat lelaki dan dua perempuan) serta seorang lelaki tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa dari negara India dengan menggunakan modus operandi penyamaran sebagai pihak berkuasa negara tersebut,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ahli sindiket akan menyamar sebagai polis India sebelum menuduh mangsa terlibat dalam kes jenayah serius.

“Mangsa kemudiannya akan diperdaya untuk melakukan transaksi pembayaran bagi tujuan ‘siasatan’.

“Sindiket ini turut dikesan menggunakan skrip khas yang dirancang bagi memanipulasi dan memperdayakan mangsa sehingga mereka mengalami kerugian besar,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan komunikasi dan elektronik yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Antara yang dirampas ialah 49 buah telefon bimbit, tiga komputer riba, satu Ipad, sebuah router Wifi dan 12 salinan skrip penipuan berbahasa Tamil.

“Ia menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Seorang tangkapan warga tempatan telah dijamin polis, sementara 21 lagi suspek warga asing telah ditahan semula di bawah Akta Imigresen untuk siasatan lanjut sehingga Ahad ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN