fbpx
Chegubard dan Nik Nazmi

Kes saman fitnah Nik Nazmi terhadap Chegubard selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap Badrul Hisham Shaharin berhubung fitnah berkait projek Racangan Tebatan Banjir (RTB) selesai di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia apabila Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard membuat permohonan maaf secara terbuka dengan membacakan penghakiman persetujuan bersama selain mengakui dakwaannya terhadap Nik Nazmi adalah palsu dan tidak berasas.

“Saya menarik balik semua dakwaan terhadap YB Nik Nazmi Nik Ahmad. Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada YB Nik Nazmi di atas rasa malu, kesusahan dan kesulitan yang mana berbangkit kepada beliau.

“Saya memberi aku janji untuk tidak akan mengulangi atau menyebarkan sebarang kenyataan atau dakwaan lanjut mengenai perkara yang sama atau mempunyai kesan serupa,” katanya yang akan menurunkan atau mengeluarkan segala perkataan yang dipersoal serta pautan dalam semua akaun media sosialnya serta laman web berkenaan.

Hakim Gan Techiong kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dengan terma penyelesaian yang dinyatakan dalam draf persetujuan.

“Berdasarkan perintah persetujuan ini, defendan (Badrul Hisham) perlu menyiarkan video permohonan maaf di mana-mana akaun media sosialnya dalam tempoh 24 jam selepas permohonan maaf ini. Sila patuhi supaya tidak dikenakan tindakan menghina mahkamah,” kata hakim itu.

Terdahulu, peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Nik Nazmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak telah mencapai penyelesaian serta bersetuju dengan penghakiman persetujuan dan perkara itu disahkan peguam Zolazrai Zolkapli bagi pihak Badrul Hisham.

Menurut saman yang difailkan pada 15 Januari 2024, Nik Nazmi mendakwa Chegubard telah memuat naik lima hantaran mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman Facebook miliknya atas nama “Che GuBard (che’GuBard) di antara 20 dan 29 Disember 2023.

Kenyataan fitnah itu mendakwa plaintif kononnya telah berbohong apabila Nik Nazmi menyatakan bahawa sememangnya terdapat tender terbuka di dalam proses pemerolehan projek RBT yang mana telah dibuat melalui rundingan terus.

“Defendan mendakwa kononnya (plaintif) seorang ahli politik yang terjebak dalam kegiatan rasuah atau seorang yang tidak boleh dipercayai serta seorang ahli politik yang tidak jujur dan terlibat dalam urus niaga yang tidak telus,”kata plaintif dalam tuntutannya.Politik

Nik Nazmi mendakwa defendan telah berniat jahat dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan untuk mencemar atau memburuk-burukkan kewibawaan dan imej plaintif sebagai seorang ahli politik yang mengakibatkan beliau terpaksa berhadapan dengan kecaman dan perasaan syak wasangka di kalangan orang awam dan penduduk di kawasan parlimen beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN