fbpx
Gambar hiasan

Pegawai pertanian didakwa terima RM56,200 tanpa balasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan di Jabatan Pertanian Putrajaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 tuduhan menerima RM56,200 daripada dua pengarah syarikat, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Nizam Malik, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Pertanian, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman di jabatan itu didakwa menerima barang berharga iaitu wang RM25,700 tanpa balasan daripada seorang pengerusi koperasi melalui pemindahan dalam talian.

Mohamad Nizam juga didakwa atas sembilan tuduhan menerima RM30,500 daripada pengarah syarikat menerusi seorang individu yang mana tertuduh mengetahui kedua-dua individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank dan satu kawasan di Putrajaya antara 8 Jun 2023 dan 5 Mac 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Mohamad Safari Abdullah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut.

“Pendakwaan juga memohon syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun peguam Mohammad Ariffin Abd. Wahab merayu jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan kerana digantung tugas dan gajinya ditahan susulan siasatan kes tersebut.

“Anak guam mempunyai seorang isteri dan lima anak yang mana tiga daripada mereka masih belajar di universiti. Mohon mahkamah mempertimbangkan fakta tertuduh telah berkhidmat hampir 25 tahun dan menyumbang perkhidmatannya kepada negara.

“Tertuduh juga tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana diisytihar muflis sejak 2021 dan bersedia menerima semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya.

Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN