KLANG – Bekas guru tadika didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah membuang bayi lelakinya di hadapan sebuah rumah, tiga minggu lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan tertuduh, Nor Ain Shafina Norazman, 30, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja telah meninggalkan bayi lelaki dengan niat membuangnya di hadapan sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, kira-kira pukul 11 pagi pada 8 April lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam rayuan, peguam K. Nathiya memaklumkan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun.
Menurutnya, tertuduh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai guru tadika namun diberhentikan kerja kerana mempunyai kes jenayah.
“Dia telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan. Malah, dia juga berhasrat untuk mendaftarkan kelahiran bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai ibu kepada bayi berkenaan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi memohon hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang suri rumah terkejut apabila menemui bayi lelaki yang masih bernyawa ditinggalkan atas kerusi di hadapan rumahnya di Kampung Rantau Panjang di sini.
Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai kira-kira pukul 10.45 pagi selepas wanita berusia 35 tahun tersebut dimaklumkan oleh anak perempuannya mengenai kehadiran bayi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














