KLANG – Tindakan seorang penghantar makanan sambilan merempuh anggota polis ketika sekatan jalan raya (SJR) Isnin lalu mengundang padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Irfan Jasman, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Irfan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis iaitu Koperal Ahmad Faidz Mat Jusoh semasa melaksanakan tugasnya di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini, kira-kira pukul 1 pagi pada 27 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Peguam K. Nathiya dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh merupakan pesalah muda dan pendapatan tidak menentu sebagai penghantar makanan sambilan serta menanggung ibu bapanya.
“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kejadian berlaku di tempat awam serta kecederaan tulang rusuk dialami mangsa yang hanya menjalankan tugas.
Dalam mahkamah berasingan, Muhammad Irfan turut mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu kira-kira pukul 1.30 pagi di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli
mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000 selain lesen hendaklah diendors dan hilang kelayakan memegang serta mendapatkan lesen memandu tidak kurang dari tarikh sabitan.
Majistret A. Khartiyayini membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Jun depan bagi laporan sosial.
Kosmo! semalam melaporkan seorang koperal polis berusia 39 tahun cedera di kepala dan muka selepas dirempuh motosikal ditunggang tertuduh yang cuba melarikan diri ketika SJR.
Tindakan agresif itu berpunca daripada suspek yang tidak memiliki lesen memandu.- KOSMO! ONLINE














