PETALING JAYA – Primadona filem Melayu klasik, Datuk Seri Maria Menado dilaporkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di sini, pada jam 12.25 tengah hari tadi, pada usia 94 tahun.
Allahyarham Maria yang membintangi banyak filem Melayu klasik ikonik, dilapor menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua, di sisi ahli keluarga.
Menantu Allahyarham Maria, Sairul Amar Ayob dilapor berkata, ibu mentuanya dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 April lalu.
“Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” kata Sairul kepada media.
Sairul dilapor berkata, ketika ini, jenazah Allahyarham Maria masih di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada kaum keluarga dan sahabat serta kenalan memberi penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham Maria kemudian dilapor akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan dengan nama asal Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932, Allahyarham Maria dianggap bintang filem Melayu termasyhur antara 1951 dan 1963.
Allahyarham Maria berhijrah ke Singapura dan menganut Islam ketika berusia 19 tahun serta berkahwin dengan promoter tinju dan penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.
Beliau mula menempah nama dalam industri perfileman selepas berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions serta Cathay-Keris Film Productions, sebelum muncul sebagai salah seorang pelakon wanita utama pada zaman itu.
Allahyarham Maria melonjak ke puncak populariti menerusi lakonannya sebagai watak utama dalam filem Pontianak terbitan 1957, yang dianggap sebagai antara filem seram Melayu terawal, sekali gus menjadikan beliau ikon awal genre berkenaan.
Pada 1957, Allahyarham Maria digelar Wanita Terjelita Malaya oleh Times Magazine dan ‘Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara’ oleh United Press International.
Pada tahun 1980 Allahyarham menerima Darjah Dan Pingat Kebesaran Negeri Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’ daripada Istana Pahang, pada tahun 2017, Mari sekali lagi menerima Darjah Dan Pingat Kebesaran Negeri Pahang, Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P).- KOSMO! ONLINE














