PETALING JAYA – Rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat hampir enam kali ganda kepada RM108.35 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding RM18.46 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 1,353 kilogram (kg) dadah dirampas menerusi 108 kes berbanding 235.36 kilogram dalam 54 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, tindakan risikan dan pemantauan ketat di KLIA berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dan masuk dadah dalam kuantiti berskala besar.
“Jumlah kes membabitkan aktiviti pengedaran turut meningkat daripada 18 kes kepada 47 kes, manakala tangkapan pengedar meningkat daripada 21 individu kepada 59 individu.
“Peningkatan ini membuktikan fokus JSJN bukan sahaja menggagalkan cubaan penyeludupan di pintu masuk negara, malah mematahkan rangkaian pengedaran dadah sehingga ke peringkat pengedar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, perubahan modus operandi sindiket turut dikesan apabila mereka kini lebih cenderung membawa masuk dadah jenis bunga ganja ke negara ini.
Beliau berkata, sebanyak 1,251 kg bunga ganja dirampas sepanjang Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya 82.98 kilogram dalam tempoh sama tahun lalu.
“Rampasan ketamin turut meningkat kepada 16.51 kilogram berbanding 2.15 kilogram pada tahun lalu,” ujarnya.
Hussein berkata, kejayaan di KLIA turut membawa kepada lima operasi susulan di Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan yang berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket.
Menurutnya, operasi itu membawa kepada rampasan 367.83 kilogram bunga ganja bernilai RM29.43 juta, termasuk rampasan terbesar membabitkan 153.68 kilogram di Mambau, Seremban serta empat serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang.
Beliau berkata, kejayaan membanteras kegiatan penyeludupan dadah di KLIA adalah hasil kerjasama strategik antara JSJN dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Perkongsian maklumat risikan yang pantas, pemantauan bersepadu serta kawalan keselamatan yang ketat oleh Polis Bantuan MAHB di pintu masuk utama negara menjadi tunjang utama dalam mematahkan taktik licik sindiket penyeludupan dadah.
“Tiada ruang kepada sindiket untuk menjadikan KLIA atau mana-mana pintu masuk negara sebagai laluan kegiatan penyeludupan dadah,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – KOSMO! ONLINE














