SEREMBAN – Polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri terutama Istana Besar Seri Menanti dan bangunan pejabat Kerajaan Negeri bagi memastikan situasi pasca pilihan raya kekal aman serta terkawal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, polis tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang cuba mencetuskan permusuhan susulan keputusan pilihan raya, termasuk rasa tidak puas hati dalam kalangan parti yang menang atau kalah.
“Kemungkinan ada parti yang menang dan kalah serta tidak berpuas hati, itulah yang menimbulkan kebimbangan kepada kita.
“Pada masa yang sama, pihak polis sentiasa mempertingkatkan kawalan di kawasan-kawasan yang kita percaya penting, terutama di pejabat kerajaan negeri, Istana Yang di-Pertuan Besar serta beberapa jabatan dan bahagian lain termasuk tempat penjumlahan undi,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Mohd. Khalid turut mengingatkan semua penyokong parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 supaya terus berdisiplin dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa.
“Tanggungjawab polis bukan sahaja memastikan keselamatan sepanjang tempoh sebelum dan semasa pengundian, malah diteruskan selepas proses pilihan raya selesai,” katanya.
Jelas beliau, sejak hari pertama proses PRN Negeri Sembilan Ke-16 bermula, sebanyak 92 laporan polis telah diterima berkaitan kesalahan pilihan raya dan 24 kertas siasatan dibuka termasuk kes sogokan duit kepada pengundi. – KOSMO! ONLINE














