DALAM lipatan sejarah industri perfileman Melayu moden, nama Lisdawati bukan lagi asing.
Sejak melangkah ke dunia lakonan sekitar tahun 2000, figura kelahiran 15 Disember 1978 itu membuktikan bakat, disiplin dan kecekalan menjadi aset utama yang membolehkannya terus bertahan lebih dua dekad dalam industri yang terkenal dengan gosip dan skandal ini.
Sering dikenang menerusi watak Ayu dalam filem pecah panggung KL Menjerit (2002), Lisdawati yang mengawali karier dengan nama pentas Nisdawati itu berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai antara pelakon wanita paling berbakat di negara ini.
Hakikatnya, perjalanan seorang anak seni tidak pernah lurus tanpa selekoh. Ada ketika berada di puncak, ada masanya terhumban ke dasar, sebelum kembali bangkit membina langkah.
Begitulah juga kisah hidup Lisdawati, wanita yang memilih untuk terus bertahan meskipun pernah dihimpit ujian sehingga hampir kehilangan punca pendapatan.
Bertemu empat mata dengannya, pelakon itu cukup merendah diri. Tutur katanya lembut, senyumannya tidak pernah lekang, malah langsung tidak menampakkan dirinya pernah melalui episod paling getir sepanjang bergelar anak seni.
Titik terendah
Dipuji bijak menjaga jenama seni sehingga kekal relevan hingga hari ini, isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu sekadar tersenyum sebelum menegaskan perjalanan hidupnya jauh daripada kesempurnaan seperti disangka ramai.
Ujar pemilik nama sebenar Nisdawati Nazaruddin itu, antara ujian paling besar pernah dilaluinya bermula selepas mengambil keputusan mengenakan hijab sepenuhnya pada 2013.

Memasuki lembaran baharu dalam hidup, namun dalam masa sama, berhijab turut menguji ketabahan apabila tawaran lakonan hampir terhenti.
“Saya memang pernah melalui fasa jatuh. Bukan jatuh biasa-biasa, tetapi hampir lingkup. Sampai ada masa berbulan-bulan tiada pendapatan. Job memang tak ada.
“Masa itu saya percaya Allah sedang menguji. Dia beri kita rasa manis, kemudian Dia hadirkan kepahitan untuk melihat sejauh mana kita mampu bertahan.
“Alhamdulillah saya berjaya melalui fasa itu. Kehidupan saya semakin baik walaupun bukan secara mendadak. Saya pula bukan jenis suka menunjuk-nunjuk kehidupan dalam media sosial. Saya kongsi sekadar perlu sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Aktres tinggi lampai itu mengakui penghijrahan dilakukannya bukan sesuatu yang mudah, malah pernah menguji keyakinannya sebagai seorang wanita dan pelakon.
“Waktu mula berhijab, saya lihat ada orang rezekinya semakin mencurah-curah. Saya pula sebaliknya. Ketika itu saya benar-benar diuji. Seolah-olah Allah mahu melihat, sama ada saya akan membuka tudung semula atau pun terus istiqamah.
“Saya langsung tidak menyalahkan mana-mana artis yang akhirnya membuka hijab kerana tiada tawaran. Saya faham keadaan itu. Kalau hati tidak cukup kuat, memang mudah goyah. Industri ini menguji semangat kita untuk menutup aurat,” ujarnya.
Hanya mampu berserah sambil mencari jalan meneruskan kehidupan, dia dapat menarik nafas lega apabila tawaran lakonan kembali hadir satu demi satu selepas empat tahun setengah menyepi daripada perhatian penerbit mahupun sutradara.
“Saya reda. Selama empat tahun saya lalui semuanya dengan sabar. Saya cuba berniaga di bazar. Masa itu fikir mungkin ini jalan rezeki saya tetapi akhirnya saya sedar, berniaga jauh lebih memenatkan daripada berlakon. Masa banyak habis di situ.
“Saya penat, namun terus berdoa tanpa henti dan minta kepada Allah, kalau memang rezeki saya dalam lakonan, bukakanlah semula pintu itu.
“Saya tak melatah, tak merungut, tak kecoh kepada orang. Saya diam dan bertahan.
“Tiba-tiba orang mula panggil saya semula. Lepas itu panggil lagi dan lagi. Dari situlah saya mula diberikan watak ibu sehingga hari ini. Alhamdulillah, semuanya berlaku atas izin Allah,” luahnya.
Sedar diri, ruang dan peluang, Lisdawati mengakui sudah lama berdamai dengan perubahan usia dan tidak lagi mengejar watak heroin.
“Saya sedar diri. Saya tidak pernah mengharapkan watak heroin lagi. Kalau orang risau nak tawarkan watak mak kepada saya, saya sendiri beritahu jangan risau. Saya memang sudah bersedia.
“Saya ubah semuanya. Cara berpakaian pun saya sesuaikan. Saiz badan saya kecil, jadi saya pakai baju lebih longgar, saiz L atau XL supaya lebih sesuai dengan karakter seorang ibu. Alhamdulillah, sekarang orang dah boleh terima.
“Ini bukan soal jadi heroin atau emak, tetapi bagaimana kita menghidupkan watak sebaik mungkin selain jaga disiplin, komitmen dan hubungan dengan produksi. Bila mereka rasa kita mudah bekerjasama dan tidak menyusahkan, mereka akan panggil lagi,” ceritanya.
Urus kewangan
Ditanya sama ada pernah menerima tawaran dengan bayaran tidak setimpal seperti dikeluhkan segelintir rakan seperjuangan, pelakon berusia 47 tahun itu menggeleng kepala sebelum menegaskan setiap individu mempunyai hak membuat keputusan.
“Ibarat bertepuk sebelah tangan. Kalau rasa bayaran berbaloi, kita terima. Kalau tidak, jangan ambil. Pokok pangkalnya terletak pada diri sendiri.
“Kita tidak boleh menyalahkan pelakon tambahan atau sesiapa sahaja kononnya merosakkan harga pasaran.
“Bidang ini periuk nasi semua orang.
“Ramai pelakon tambahan berjaya menjadi pelakon utama hasil usaha.

“Masing-masing sedang berjuang mencari rezeki mengikut kemampuan dan peluang,” tegasnya.
Paling penting katanya, dunia seni mampu menjanjikan kehidupan selesa buat orang yang bijak mengurus kewangan dan merancang masa depan.
“Kalau niat lebih kepada mahu menunjuk-nunjuk kemewahan, itulah punca ramai akhirnya merana selepas 10 atau 20 tahun.
“Saya bercakap berdasarkan apa yang saya lihat, mungkin hanya separuh orang industri benar-benar menyimpan wang, beli aset dan berjimat. Selebihnya habis dibelanjakan demi gaya hidup.
“Akhirnya apabila tawaran semakin berkurangan, masih menyewa rumah dan bergelut meneruskan kehidupan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2022 itu mengakui bernasib baik asbab mendengar kata ibunya.
“Dahulu pendapatan lebih kurang sama, tawaran pun banyak. Tetapi kenapa akhirnya ada orang hilang semuanya? Dari situlah saya belajar bahawa rezeki bukan sekadar banyak, tetapi bagaimana kita menguruskannya.
“Alhamdulillah, saya ada mak sebagai penyokong paling kuat. Dia selalu tegur dan ingatkan, ‘jangan nanti bila tua hidup merempat.’ Kata-kata itulah saya pegang sampai hari ini.
“Sebab itu dalam media sosial, jarang nampak saya beli-belah, bercuti mewah atau menunjuk kehidupan. Saya memang tidak biasa dengan semua itu kerana saya sangat takut,” ungkapnya.
Pada hujung temu bual, Lisdawati mendedahkan, sebaik sahaja mencipta nama menerusi filem KL Menjerit, keutamaan pertamanya bukan membeli barangan mewah, sebaliknya aset hartanah.
“Sebenarnya pada usia 21 tahun saya sudah membeli rumah. Selepas KL Menjerit ditayangkan, wang hasil lakonan filem itulah saya gunakan sebagai deposit rumah. Saya langsung tidak membeli benda bukan-bukan.
“Saya hidup seperti biasa. Saya bukan peminat barangan berjenama atau beg tangan mahal. Sampai hari ini pun saya lebih tenang hidup secara sederhana kerana pada saya, aset jauh lebih bernilai daripada kemewahan sementara,” tutupnya.














