fbpx
QAYYIM mencipta kemenangan sulung Moto4 di Sepang.

Qayyim cipta kejutan Moto4 Asia di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pelumba muda negara, Qayyim Razin Razali mencipta kejutan apabila menghadiahkan kemenangan bergaya buat Malaysia selepas menjuarai Perlumbaan 1 Pusingan Kedua Kejuaraan Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Qayyim, 14 tahun yang memulakan perlumbaan di petak keenam mamperagakan tunggang cukup baik apabila bersaing rapat dengan kelompok hadapan hingga berada di kedudukan ketiga.

Pada awal perlumbaan, rakan senegara Qayyim, Qabil Irfan Azlan dilihat mendominasi perlumbaan itu di kedudukan pertama apabila ditentang hebat dua pelumba Jepun, Kotaro Togashi dan Waku Kunitate.

Perlumbaan sejauh 11 pusingan itu berlangsung cukup mendebarkan apabila kelompok pendahulu saling bertukar posisi hampir sepanjang saingan, sebelum Qayyim melakukan henjutan terakhir yang memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

Qayyim menewaskan pelumba Jepun, Togashi dalam penamat dramatik menerusi photo finish, selepas kedua-dua pelumba berentap sengit hingga ke garisan penamat.

Kotaro terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Qabil melengkapkan podium di kedudukan ketiga.

Tempat keempat menjadi milik pelumba Indonesia, Bintang Pranata diikuti Waku Kunitate (Jepun), Haruki Matsuyama (Jepun), Hayato Chisiki (Jepun) dan Pacharagorn Thonggerdloung dari Thailand.

QAYYIM dan Qabil tampi cemerlang di Sepang.

Qayyim mengakui dia sendiri tidak menyangka mampu muncul juara memandangkan persaingan dalam kelompok hadapan cukup sengit sejak awal perlumbaan.

“Alhamdulillah, pertama sekali saya nak berterima kasih. Syukur Alhamdulillah atas kemenangan hari ini. Allah bagi saya kemenangan ini dan doa mak ayah saya. Terima kasih juga kepada semua jurulatih yang banyak membantu saya.

“Memang saya tak sangka dapat muncul juara hari ini. Saingan memang sangat sengit kerana semua pelumba bertarung dalam kelompok dan keadaan itu menjadikan perlumbaan agak sukar untuk saya,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu cukup bermakna kerana impiannya selama ini akhirnya menjadi kenyataan selepas segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan berhasil untuk muncul juara.

“Perasaan saya amat gembira. Saya rasa macam ini impian saya dan Alhamdulillah dapat direalisasikan hari ini. Untuk perlumbaan esok saya akan buat yang terbaik dan kekal konsisten,” katanya.

Sementara itu, keputusan tempat ketiga membolehkan Qabil terus memberi tekanan dalam perebutan kejuaraan keseluruhan apabila kini menghuni tangga kedua carta dengan 46 mata, hanya 13 mata di belakang pendahulu dari Jepun, Hayato Chisiki yang mengumpul 59 mata.

Kotaro pula berada di tempat ketiga keseluruhan dengan 45 mata, diikuti Waku Kunitate (44 mata) dan Bintang Pranata (40 mata), manakala kemenangan sulung Qayyim melonjakkan pelumba negara itu ke tangga ketujuh keseluruhan dengan 25 mata. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN