fbpx
NUR Adeela bersama ahli keluarganya ditemui selepas membuang undi di SK Taman Paroi Jaya, Seremban hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

Tujuh sekeluarga pulang ke kampung untuk mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Tujuh sekeluarga sanggup pulang ke Negeri Sembilan untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini kerana menganggap perkara itu tanggungjawab sebagai warganegara.

Pensyarah di sebuah universiti di Selangor, Dr. Nur Adeela Yasid, 45, berkata, keluarganya sememangnya tidak pernah mengambil mudah soal mengundi kerana menganggap ia satu kewajipan yang perlu dipenuhi oleh setiap rakyat.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan memastikan semua yang layak mengundi pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab itu walaupun masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

“Memang semangat kami sekeluarga. Kalau pilihan raya, memang wajib balik mengundi. Kami sudah biasa dengan amalan ini sejak dulu lagi.

“Bagi saya, mengundi bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi tanggungjawab untuk menentukan masa depan negeri dan negara,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Paroi Jaya, di sini hari ini.

Nur Adeela berkata, keluarganya terdiri daripada tujuh pengundi termasuk bapanya, Yasid Majid, 74, seorang pesara, selain empat adik-beradik serta dua anak buah yang turut layak mengundi.

“Saya harap keputusan pilihan raya ini dapat membawa Negeri Sembilan menjadi negeri yang lebih maju dan terus membangun demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN