PETALING JAYA – “RXZ… penat… Saya dah biasa dah kerja penat sebab bertugas di jabatan kecemasan (ED). Tapi ramai kemalangan RXZ datang harini, penat dia lain macam.”
Demikian luahan seorang pakar kecemasan yang mendakwa peningkatan kemalangan membabitkan penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dalam perjalanan menghadiri Himpunan RXZ Members 8.0 menyebabkan beban kerja petugas kesihatan bertambah.
Menerusi hantaran di media sosial, Dr. Faizal berkata, pihaknya menerima ramai mangsa kemalangan sehingga memerlukan penggunaan pelbagai sumber perubatan hospital.
“Berapa banyak beg darah habis. Berapa banyak imbasan tomografi berkomputer (CT) dibuat. Berapa banyak bilik pembedahan perlu dibuka.
“Tapi tidak mengapa, kami di Kementerian Kesihatan sentiasa membantu walau sesukar mana sekalipun kerana semua sumber ini boleh diganti semula,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kehilangan nyawa serta kecacatan kekal akibat kemalangan merupakan sesuatu yang tidak mampu digantikan.
“Berapa ramai kehilangan suami, ayah dan anak. Berapa ramai menjadi cacat. Yang ini tiada sumber kewangan atau masa yang dapat menggantikannya semula,” ujarnya.
Pada masa sama, Dr. Faizal turut mempersoalkan sampai bila kemalangan yang meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan akan terus berlaku semata-mata untuk menghadiri sesuatu perhimpunan.
Menurutnya, menjaga nyawa juga merupakan sebahagian daripada tuntutan kehidupan yang perlu diberi keutamaan oleh setiap individu.
Sehubungan itu, dia mencadangkan orang ramai membunyikan hon sekiranya melihat penunggang motosikal RXZ menunggang secara berbahaya di lebuh raya sebagai tanda peringatan supaya mereka lebih berhati-hati.
“Moga diberi kesembuhan kepada semua pesakit yang kemalangan dan moga diberi ketabahan buat keluarga yang hilang orang tersayang,” katanya.
Himpunan RXZ Members 8.0 berlangsung di Terengganu bermula semalam yang menghimpunkan puluhan ribu peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.
Setakat ini, beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang dipercayai dalam perjalanan ke Himpunan RXZ Members 8.0 dilaporkan, termasuk nahas maut serta kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE














