LONDON – Seorang lelaki di Britain ditahan selepas pihak berkuasa menemukan wang tunai £4 juta (RM22 juta) dan 1 kilogram (kg) dadah jenis kokain yang disembunyikan dalam beberapa beg beli-belah, lapor akhbar Metro UK.
Penemuan dibuat selepas polis menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Catford, selatan London, baru-baru ini.
Pemeriksaan pada kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sebuah beg beli-belah mengandungi wang kertas berjumlah £35,000 (RM192,723).
Selepas menggeledah kediaman suspek berusia 54 tahun itu, polis menemui kira-kira wang tunai £4 juta yang disorokkan di dalam pelbagai beg di dua bilik tidur bersama 1kg dadah Kelas A (dadah berat).
“Ini merupakan salah satu rampasan wang terbesar yang kami pernah lakukan, sekali gus membuktikan tindakan proaktif polis tempatan dalam membanteras jenayah berat serta terancang.
“Penangkapan ini menunjukkan peranan penting dalam pemeriksaan mengejut termasuk menahan kenderaan yang mencurigakan dalam membantu pihak berkuasa mengenal pasti aktiviti jenayah,” kata pakar jenayah, Komander Paul Brogden. – AGENSI














