fbpx
Gambar Thiago dan Saif yang dirakam ketika peguam Adalah membuat lawatan ke Penjara Shikma, Ashkelon, baru-baru ini.

Thiago, Saif ditahan enam hari lagi, peguam rayu keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret Ashkelon hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melanjutkan tempoh tahanan dua aktivis kemanusiaan, Thiago Ávila dan Saif Abu Keshek selama enam hari lagi sehingga 10 Mei ini.

Keputusan itu dibuat Hakim, Yaniv Ben-Haroush meskipun dibantah pasukan pembelaan daripada The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) yang diwakili peguam, Hadeel Abu Salih dan Lubna Tuma.

Menurut peguam, kedua-dua aktivis berkenaan ditahan tanpa sebarang pertuduhan rasmi dan hanya bagi tujuan siasatan lanjut.

“Mereka tidak berdepan sebarang asas undang-undang untuk terus ditahan, malah tiada pertuduhan difailkan setakat ini,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Pihak pendakwaan dilaporkan mengemukakan beberapa dakwaan termasuk membantu musuh ketika perang, berhubung dengan ejen asing, menjadi ahli serta memberi perkhidmatan kepada organisasi pengganas dan memindahkan harta kepada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, pihak pembelaan menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan kepada orang awam melalui misi flotila tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana organisasi pengganas.

Dalam pada itu, Adalah turut mempersoalkan bidang kuasa undang-undang Israel ke atas kedua-dua individu tersebut yang bukan warganegara negara itu dan ditahan kira-kira 1,000 kilometer dari Gaza.

Menurut mereka, kedua-dua aktivis kini ditahan dalam keadaan terasing sepenuhnya selain didakwa berdepan layanan tidak berperikemanusiaan termasuk pencahayaan berintensiti tinggi sepanjang masa serta ditutup mata ketika dipindahkan.

“Malah, mereka kini meneruskan mogok lapar sejak 30 April lalu dan hanya minum air sebagai tanda bantahan terhadap penahanan ini,” jelasnya.

Dalam prosiding sama, mahkamah dilaporkan turut menerima bukti sulit yang tidak didedahkan kepada pihak pembelaan sebelum membenarkan lanjutan tahanan penuh tanpa sebarang sekatan terhadap tempoh soal siasat.

Sementara itu, Adalah memaklumkan akan memfailkan rayuan segera ke Mahkamah Daerah bagi mencabar keputusan tersebut.

“Keputusan ini seolah-olah mengesahkan tindakan melanggar undang-undang oleh pihak berkuasa. Kami akan menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap kedua-dua aktivis berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN