fbpx

Terminal feri baharu bakal dibina di Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIZAN membaca laporan Kosmo! mengenai masalah yang dihadapi pengusaha feri ekoran perairan cetek di Kangar semalam.

KANGAR – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana seba­nyak RM20 juta bagi menampung projek pengerukan sekali gus menyelesaikan masalah perairan cetek yang membelenggu pe­ngendali perkhidmatan feri penumpang di Terminal Feri Kuala Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan serta Badan Bukan Kerajaan Perlis, Hamizan Hassan berkata, kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran itu akan dilaksanakan Jabatan Laut pada Disember ini menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan.

“Kami maklum mengenai masalah tersebut yang berpunca daripada feno­mena alam semula jadi dan ia dilakukan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan secara berkala dalam tempoh dua tahun sekali sebelum ini.

“Selepas dikorek, alur pelayaran akan kembali cetek akibat mendapan dihanyutkan semula arus laut dan hulu sungai, justeru kita sedang melihat kemungkinan aktiviti pengerukan ini perlu dilakukan sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kos­mo! semalam mengenai mendapan lumpur yang menjejaskan pergerakan feri ke Langkawi selain menyukarkan pergerakan bot nelayan di perairan Kuala Perlis.

Difahamkan, projek pengerukan alur pelayaran pada hujung tahun ini meliputi kawasan sepanjang sembilan kilometer dengan kedalaman empat meter (m) serta lebar dasar seluas 70m yang dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

Sebagai rekod, projek pengerukan yang dilakukan pada tahun 2018 menelan belanja sebanyak RM17 juta pada kedalaman dua meter.

Menurut Hamizan, kerajaan negeri mempunyai peranca­ngan jangka masa panjang untuk membina terminal feri penum­pang baharu di Kuala Perlis.

“Terminal itu akan dibina di lokasi semasa atau di lokasi baharu yang terletak di simpang tiga Lebuh Raya Kuala Perlis-Changlun,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI