PETALING JAYA – Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini tampil menjelaskan perkara tular melibatkan Jabatan Kecemasan dan Trauma yang digambarkan seperti zon perang sebenarnya sedang dalam proses naik taraf dan dijangka siap pada akhir tahun ini.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K.R Nair berkata, pihaknya mengambil maklum dan prihatin berhubung perkongsian di media sosial mengenai jabatan tersebut kelmarin.
Menurutnya, projek itu merupakan perancangan strategik untuk menampung kapasiti pesakit yang bertambah demi keselesaan rakyat yang mendapatkan rawatan di fasiliti tersebut.
“Sepanjang projek ini berlangsung, Jabatan Kecemasan dan Trauma terpaksa beroperasi di kawasan yang mengecil kira-kira 50 peratus, manakala 50 peratus lagi bagi laluan projek naik taraf tersebut.
“Walau bagaimanapun, perkhidmatan kesihatan di jabatan ini masih diteruskan dengan mengamalkan prinsip ‘no wrong door’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, HKL akan sentiasa memastikan operasi jabatan tersebut berjalan lancar dengan semua kes diberikan rawatan mengikut prosedur standard operasi.
“Infrastruktur yang kelihatan uzur adalah bersifat sementara kerana proses ubah suai bagi menampung projek naik taraf.
“Kerusi pesakit dan waris menunggu akan ditambah mengikut kapasiti khemah menunggu sedia ada bagi meningkatkan keselesaan pelanggan,” katanya.
Ujarnya, pihak pengurusan HKL mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat dan sentiasa bersikap terbuka menerima sebarang cadangan. – KOSMO! ONLINE














