KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun turun naik mahkamah, pelakon Zizie Izette Abdul Samad meluahkan rasa syukur selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Zizie Izette, 48, berkata selama tempoh itu beliau memendam rasa dan melalui perjalanan itu dengan seadanya.
“Hanya Allah yang tahu, saya seorang yang tidak suka bercerita, tidak suka bercakap tentang kehidupan saya privasi saya…cukuplah tujuh tahun saya memendam rasa dan Alhamdulilah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama, Zizie Izette yang popular dengan filem Kekasih Awal Dan Akhir itu turut memohon semua pihak memberi ruang untuk beliau menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya akan teruskan kehidupan, saya mempunyai tanggungjawab yang besar lima orang anak yang perlu saya pikul. Saya ibu tunggal sekarang ini..tujuh tahun Alhamdulilah in our side (berpihak pada kami),” tambah beliau yang sentiasa membayangkan arwah suaminya iaitu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sentiasa berada disebelahnya.
Terdahulu Zizie Izette dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pembelaan Zizie Izzete, 48, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang didakwa terhadap selebriti itu. – KOSMO! ONLINE














