KUALA LUMPUR – Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 bukan sekadar platform perbincangan, sebaliknya menjadi medan penting untuk menterjemahkan idea kepada tindakan strategik demi memperkasa masa depan Bumiputera.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kongres tersebut merupakan agenda nasional yang memerlukan kesatuan fikrah, iltizam serta tindakan bersama, bukan hanya untuk kelompok tertentu.
Menurutnya, penganjuran kongres itu melambangkan kesedaran kolektif bahawa masa depan Bumiputera perlu dibina secara terancang, berani dan tersusun.
“Kongres ini adalah ruang muhasabah nasional untuk menilai kedudukan Bumiputera dalam landskap pendidikan hari ini, di samping menjadi makmal idea merumus pendekatan baharu yang lebih segar dan berimpak tinggi.
“Ia juga medan penyelesaian kepada isu kritikal yang menghambat kemenjadian Bumiputera unggul. Kita tidak mahu sekadar retorik, tetapi pelaksanaan yang nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Zambry yang juga Pengerusi Kongres berkata, penganjuran itu bersempena ulang tahun ke-80 UMNO yang sejak awal menjadikan pendidikan sebagai instrumen mobiliti sosial dan pemerkasaan bangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa segala cadangan yang dibentangkan perlu diterjemahkan kepada tindakan berkesan, kerana bangsa yang berjaya bukan hanya pandai berbicara tetapi mampu melaksanakan agenda.- KOSMO! ONLINE.














