PETALING JAYA – EP Manufacturing Bhd (EPMB) telah memulakan projek permulaan pembinaan kemudahan mengecat kenderaan baharu di Pegoh, Melaka hari ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan ekosistem pembuatan automotif bersepadu di negeri berkenaan.
Kemudahan baharu tersebut memperkukuh kedudukan Melaka yang semakin berkembang sebagai salah satu pusat perindustrian automotif paling dinamik di Malaysia, menyokong rantaian nilai pembuatan kenderaan yang lengkap dari penyetempatan, pembuatan komponen dan logistik hingga kepada pemasangan kenderaan, pengecatan dan pengedaran eksport.
Melalui pelaburan ini, EPMB akan terus memajukan visinya untuk mewujudkan hab pembuatan automotif sehenti yang mampu berkhidmat kepada jenama automotif global serta menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi pusat serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif.
Dengan penambahan kemudahan pengecatan ini, EPMB sedang memperkukuh transformasinya daripada pembekal komponen Tahap-1 (Tier-1) tradisional kepada rakan kongsi pembuatan automotif bersepadu secara menegak.
Syarikat kini menawarkan penyelesaian pembuatan hujung ke hujung yang merangkumi pembangunan penyetempatan, pengeluaran alat ganti, operasi CKD, pemasangan kenderaan, pengecatan, jaminan kualiti, pengujian dan sokongan eksport serantau, semuanya di dalam kampus pembuatannya di Pegoh.
Pembangunan ini seterusnya meningkatkan ekosistem automotif yang sedang dibina
di Melaka, mewujudkan peluang yang lebih besar untuk vendor tempatan,
pemindahan teknologi, pembangunan tenaga kerja mahir dan penyetempatan
rantaian bekalan.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, kemudahan mengecat kenderaan ini adalah salah satu proses termaju dari segi teknologi dalam pembuatan automotif.
“Penubuhan kemudahan ini mencerminkan sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar pengembangan keupayaan pengeluaran kami yang mana ia adalah pelaburan strategik dalam pembangunan jangka panjang ekosistem automotif Melaka.
“Dengan menyepadukan operasi pengecatan ke dalam kampus pembuatan kami yang sedia ada, EPMB akan dapat menyediakan penyelesaian pembuatan CKD yang lengkap kepada jenama automotif global di dalam Malaysia, merangkumi penyetempatan, pemasangan, pengecatan dan kesediaan eksport.
“Ini secara signifikan meningkatkan cadangan nilai kami sebagai rakan kongsi pembuatan bagi
OEM antarabangsa.
“Lebih penting lagi, pelaburan ini menyokong agenda penyetempatan Malaysia di samping memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab pembuatan automotif yang semakin pesat membangun untuk ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran pecah tanah kemudahan tersebut.
Acara hari ini mencerminkan pertumbuhan pesat perniagaan pembuatan automotif EPMB, yang telah berkembang daripada satu program OEM tunggal kepada kerjasama strategik bersama empat kumpulan automotif utama dari China iaitu GWM, BAIC, SAIC-MG dan XPENG.
Jumlah pengeluaran telah melepasi 1,000 buah kenderaan sebulan, dengan pertumbuhan lanjut dijangka apabila program baharu diperkenalkan dan aktiviti eksport berkembang.
Kenderaan yang dipasang di Pegoh sudah pun memasuki pasaran serantau, termasuk Thailand, dan EPMB sedang giat bekerjasama dengan rakan kongsi OEMnya untuk meluaskan eksport ke seluruh ASEAN serta pasaran antarabangsa yang lain.
Memandangkan keupayaan pengeluaran terus berkembang, EPMB menyasarkan untuk meletakkan Pegoh sebagai gerbang pembuatan dan eksport automotif serantau, disokong oleh ekosistem pembekal, rakan kongsi teknologi, penyedia logistik dan bakat mahir yang semakin berkembang. -KOSMO! ONLINE














