IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak akan menggerakkan ahlinya ke Johor dan Negeri Sembilan bagi membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata, tumpuan diberikan kepada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan empat kawasan Parlimen di kedua-dua negeri.
“Seperti biasa kita menerima permintaan daripada BN pusat untuk Perak turun membantu jentera kempen.
“Bagi PRN Johor, Perak akan memberi tumpuan kepada lima DUN membabitkan dua kawasan Parlimen iaitu Ledang dan Pagoh.
“Di Parlimen Pagoh, DUN terlibat ialah Bukit Kepong dan Bukit Pasir, manakala di Parlimen Ledang melibatkan DUN Gambir, Tangkak dan Serom,” katanya kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Menurut beliau, untuk Negeri Sembilan, Perak akan menjaga dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Kuala Pilah dan Tampin.
Katanya, di Parlimen Kuala Pilah, DUN terlibat ialah Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah dan Johol manakala Parlimen Tampin pula melibatkan DUN Gemas, Gemencheh dan Repah.
“Jadi seperti biasa, saya sudah menyediakan pasukan untuk kita membantu jentera kempen di semua kawasan terbabit,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan yang tidak diadakan serentak, Saarani berkata keputusan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, sebarang penetapan tarikh pilihan raya dibuat berdasarkan pertimbangan yang telah ditetapkan oleh SPR.
“Kita tak dapat nak mengaturnya sebab itu keputusan SPR. Walau apa keadaannya, kita akan uruskan sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan dengan PRN Johor menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun, diikuti hari mengundi awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Sementara itu, PRN Negeri Sembilan menetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos. – KOSMO! ONLINE














