BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui persaingan untuk merebut kerusi Ahli Jawatankuasa (Exco) lebih sengit pada Kongres Pemilihan FAM yang dijangka berlangsung pada September depan.
Menurut Yusoff, situasi itu disebabkan pindaan struktur organisasi FAM yang menyaksikan jumlah jawatan Exco dikurangkan kepada 11 berbanding 17 sebelum ini.
Yusoff berkata, pengurangan jumlah kerusi itu bermakna ahli gabungan perlu memastikan hanya calon paling tepat untuk diberikan mandat layak memimpin badan sukan No. 1 negara itu.
“Kalau tempat itu banyak, mungkin kita boleh kata seorang ini atau seorang itu boleh diberi peluang. Tetapi, sekarang jawatan sudah terhad.
“Jadi, kita kena pilih betul-betul. Sebab itu saya serahkan kepada ahli gabungan untuk menentukan siapa yang mereka rasa terbaik untuk berada dalam kepimpinan FAM,” katanya ketika ditemui.
Dalam 11 kerusi Exco pada struktur baharu FAM nanti, Presiden akan menerajui organisasi selain dibantu tiga kerusi Naib Presiden yang menjadi rebutan, manakala baki adalah adalah untuk jawatan Exco.
Mengulas lanjut, Yusoff turut memberi bayangan sedia untuk bertanding pada Kongres Pemilihan FAM jika ada ahli gabungan yang mahu mencalonkannya nanti.
“Kalau ahli gabungan rasa saya masih sesuai, itu terpulang kepada ahli gabungan. Kalau mereka fikir ada orang yang lebih berkualiti daripada saya, itu juga hak mereka untuk menentukan,” katanya.














