LANGKAWI – Pelancong tempatan akan dikenakan surcaj bahan bakar bagi perkhidmatan feri Langkawi mengikut harga minyak iaitu pada kadar antara RM1.05 hingga RM4.80, berkuat kuasa Isnin ini.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line), Tc. Dr. Baharin Baharom berkata, pelaksanaan surcaj itu adalah bersifat bersasar dan terhad selaras dengan pendekatan yang digariskan oleh kerajaan.
Katanya, kadar surcaj bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi adalah minimum RM1.05 dan maksimum RM3.80, manakala laluan Kuala Kedah-Langkawi minimum RM1.35 dan maksimum RM4.80.
“Surcaj hanya dikenakan kepada pelancong tempatan sebagai sebahagian daripada usaha berkongsi beban kos operasi yang semakin meningkat.
“Kadar surcaj tersebut tidak dikenakan kepada penumpang tanpa MyKad, penduduk tetap Langkawi, warga emas dan orang kurang upaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, langkah itu adalah sebagai sebahagian daripada usaha berkongsi beban kos operasi yang semakin meningkat.
“Walaupun surcaj dikenakan kepada pelancong tempatan, pihak kami ingin menegaskan bahawa harga tiket feri ke Langkawi masih berada pada tahap yang rendah dan munasabah, malah antara yang paling kompetitif di Malaysia.
“Kadar tersebut adalah kecil berbanding peningkatan sebenar kos bahan api yang ditanggung oleh pengusaha feri,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga ingin menegaskan bahawa situasi tersebut tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang mencabar ini, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Sebelum ini, tambang feri Langkawi bagi penumpang tanpa MyKad mengalami kenaikan sebanyak RM10 berkuat kuasa pada 15 April lalu susulan peningkatan kos industri yang ketara dan berterusan.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan semalam bersetuju untuk melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar sebagai langkah mitigasi sementara berkuat kuasa Isnin ini.
Di bawah struktur tersebut, tiada surcaj dikenakan bagi harga minyak sehingga RM4 seliter (l), manakala kadar lima peratus dikenakan bagi harga RM4.01 hingga RM5/l.
Kadar surcaj akan meningkat kepada lapan peratus bagi RM5.01 hingga RM6/l, 12 peratus (RM6.01-RM7/l), 15 peratus (RM7.01-RM8/l) dan maksimum 18 peratus bagi harga melebihi RM8 seliter. – KOSMO! ONLINE














