PETALING JAYA – Tindakan tidak bertanggungjawab seorang pelancong asing membiarkan anaknya membuang air kecil di kawasan terbuka berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) mengundang kecaman daripada pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Afest_t, wanita itu dilihat membiarkan kanak-kanak dipercayai anaknya membuang air kecil di hadapan bangunan KLCC tanpa menghiraukan orang di sekeliling mereka.
“Selamba kau sahaja bagi anak kencing dekat situ,” katanya.
Perbuatan itu secara tidak langsung mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab selain mengabaikan aspek kebersihan dan kemudahan tandas yang terdapat di dalam bangunan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna menggesa pihak berkuasa atau pengurusan bangunan mengambil tindakan tegas sekiranya mengesan kelakuan sedemikian.
“Tak boleh ke kita saman atau kenakan kompaun dekat mereka? Kalau di Singapura, kau tak boleh buat macam ini sebab denda sangat tinggi,” kata Human.cat10.
Malah, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman berdepan situasi hampir sama di premis perniagaan masing-masing membabitkan segelintir pelancong asing yang kurang kesedaran sivik.
“Dalam kafe ada tandas, tetapi disuruh anak kencing dekat tempat merokok. Selepas itu hulur duit nak bagi kita senyap. Ini bukan soal duit, ini adab dan ‘common sense’,” ujar Muhdkhairul18. – KOSMO! ONLINE














