fbpx
ONN HAFIZ (kanan) masih menunggu jemputan rasmi pelawaan Anthony Loke menghadiri program pelaksanaan projek KTM Komuter di Johor Bahru, minggu depan.

Onn Hafiz tunggu jemputan rasmi, terima pelawaan Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan kesediaannya untuk menghadiri program pelaksanaan projek KTM Komuter di negeri ini yang dijadual berlangsung pada Selasa depan, namun memaklumkan masih belum menerima jemputan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.

Onn Hafiz berkata, jemputan yang dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook disambut baik kerana projek berkenaan melibatkan kepentingan rakyat Johor dan tidak seharusnya dikaitkan dengan kerjasama politik.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insha-Allah akan melapangkan jadual bagi tujuan tersebut.

“Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor, bukannya kerjasama politik. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Onn Hafiz berkata, sehingga kini pejabatnya masih belum menerima surat jemputan rasmi serta butiran program daripada pihak kementerian.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu berkata, maklumat mengenai jemputan tersebut hanya diperoleh menerusi laporan media selepas diumumkan ketika program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan beberapa program kementerian sebelum ini yang didakwa tidak melibatkan Kerajaan Negeri Johor, termasuk lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), pengumuman Sistem Permit Masuk Kenderaan Asing (VEP) dan lawatan ke projek Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Segamat.

Menurutnya, lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link pada April lalu juga didakwa tidak melibatkan Kerajaan Negeri walaupun beberapa pemimpin DAP Johor hadir dalam program berkenaan.

Onn Hafiz turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah memberi pelbagai bentuk sokongan bagi menjayakan pelaksanaan projek KTM Komuter tersebut.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan bantuan sebanyak RM700,000 untuk kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren selain membantu menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen terlibat melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

“Kerajaan Negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.

“Perkongsian ini bukan bertujuan untuk menuntut kredit, sebaliknya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Beliau menegaskan bahawa projek pembangunan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan tanggungjawab semua pihak yang diberi amanah untuk dilaksanakan secara profesional demi manfaat rakyat.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN