KUALA LUMPUR – Kadar inflasi negara adalah terkawal dengan peningkatan sederhana kepada 1.9 peratus, Jun lalu berbanding 2.0 peratus yang direkodkan pada Mei berdasarkan pencapaian Indeks Harga Pengguna (IHP).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata, kadar itu disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan lebih perlahan dalam kumpulan pengangkutan, iaitu 2.8 peratus berbanding 3.8 peratus pada bulan sebelumnya.
“Kumpulan makanan dan minuman yang mempunyai wajaran terbesar pula kekal stabil pada kadar 1.4 peratus,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Azahar Hassan berhubung penilaian kerajaan terhadap jurang antara data inflasi rasmi dan pengalaman sebenar pengguna.
Bagaimanapun Mohd Shahar menjelaskan, kadar inflasi keseluruhan yang terkawal tidak semestinya menggambarkan pengalaman kos sara hidup yang dirasai oleh semua isi rumah.
“Keadaan ini disebabkan IHP mengukur purata perubahan harga bagi bakul barangan dan perkhidmatan yang mewakili keseluruhan isi rumah di Malaysia. Pengalaman sebenar setiap isi rumah pula, dipengaruhi oleh corak perbelanjaan, lokasi tempat tinggal serta tahap pendapatan individu,” ujarnya.
Kata beliau, kesan inflasi terhadap pengguna turut dipengaruhi oleh komposisi perbelanjaan isi rumah, khususnya bagi makanan, perumahan dan pengangkutan selain tahap pendapatan yang menentukan keupayaan mereka menghadapi kenaikan harga.
Isi rumah berpendapatan rendah jelas Mohd Shahar, lazimnya membelanjakan peratusan pendapatan yang lebih tinggi bagi keperluan asas yang lebih sensitif terhadap perubahan harga.
“Lokasi tempat tinggal sama ada di bandar atau luar bandar serta perbezaan kos sara hidup antara negeri turut mempengaruhi pengalaman inflasi yang dirasai pengguna.
“Selain itu, corak perbelanjaan individu termasuk pilihan jenama, kekerapan pembelian dan lokasi pembelian juga memberi kesan kepada kos sara hidup yang ditanggung,” tambahnya.
Beliau berkata, sebagai contoh, sekiranya harga makanan meningkat lebih pantas berbanding kumpulan barangan lain, isi rumah yang memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan kepada makanan akan merasai tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi keseluruhan. – KOSMO! ONLINE














