Sepanjang 365 hari setiap tahun, sebenarnya ada sahaja peluang yang terbuka luas untuk pergi melancong ke pelbagai destinasi di dalam negara termasuk Cameron Highlands, tetapi atas desakan kerja, pembelajaran anak-anak di sekolah bukan sahaja kelas mengaji dan tuisyen, ramai ibu bapa yang memilih musim cuti sekolah serta juga cuti umum yang panjang.
Itu amalan rakyat di negara ini, tapi apa yang dirasakan agak pelik apabila ada juga ibu bapa muda yang anak-anak mereka masih kecil, ada juga isteri suri rumah dan suami berniaga sendiri yang sepatutnya boleh menyusun atur percutian masing-masing, turut bersesak dalam kekalutan kesesakan ke tanah tinggi itu. Tidak tahu apa sebab mereka!
Sebenarnya, hari ini, esok, lusa dan hari-hari lain bukan jatuh pada hari cuti umum dan cuti sekolah, perjalanan ke tanah tinggi itu yang menawarkan dua pilihan jalan iaitu dari Tapah, Perak atau dari Simpang Pulai, laluannya terbuka luas kepada mereka untuk menerokanya dengan bebas.
Jangan salahkan faktor jalan kecil, tiada tempat parkir, kawasan makin padat dengan pembangunan dan pelbagai lagi yang membuatkan Cameron Highlands terlalu sesak dan padat, tetapi ia berpunca daripada pelancong yang tidak tahu menyusun jadual untuk bercuti ke tanah tinggi itu.
Kerana kedangkalan fikiran tersebut, mereka yang tidak sabar ini menaikkan status negatif tentang tanah tinggi itu.
Cameron Highlands hanya untuk pelancong yang berjiwa kental dan tahan sabar serta pandai merancang perjalanan.
Adalah lebih teruja rasanya jika kita berada di Cameron Highlands ketika jumlah pelancong yang kurang kerana boleh menempah hotel pada harga yang munasabah, mudah parkir kereta, mudah mengambil gambar dan video serta lebih menarik, barangan yang dijual juga tidak mahal, malah tuan kedai beri lagi buah atau sayuran percuma.
Tiada isu pun tentang kesesakan jalan raya pada luar musim cuti sekolah dan cuti hujung minggu kerana segala-galanya berjalan lancar, jika adapun, ia tidak melibatkan masa berada dalam kereta berjam jam sekali gus membuatkan mood bercuti hampir punah.
Bersandarkan pengalaman ngeri itu, ada yang memaklumkan mereka sudah serik sehingga sanggup berikrar tidak mahu datang lagi ke Cameron Highlands, mahu memboikot malah ada yang meuar-uarkan perkara yang tidak baik dalam status media sosial masing-masing.
Cameron Highlands kini semakin maju dengan pelbagai produk pelancongan yang sangat unik dengan keistimewaan yang dapat memenuhi kehendak pelancong masa kini termasuk kafe-kafe makanan tular, mendekati flora dan fauna, berihat dalam cuaca yang masih sejuk serta membeli belah di pasar malam.
Jika ada yang serik tidak mahu datang lagi ke tanah tinggi, itu hak anda, teruskan memboikot tetapi masih ramai lagi pelancong di negara ini yang terlalu mencintai Cameron Highlands kerana terlalu banyak kenangan mereka di sana.
Tindakan negatif itu tidak langsung menjejaskan perkembangan ekonomi di daerah itu malah semakin maju dan terus makmur hingga ia bakal meraikan sambutan ulang tahun yang ke 200 pada masa depan.














