KUALA LUMPUR – Selangor berjaya mencatat rekod 8.42 juta ketibaan pelancong sepanjang 2025 dan kini menyasarkan sembilan juta pelancong pada tahun ini menerusi kesinambungan Kempen Visit Selangor Year bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pencapaian itu membuktikan Selangor kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.
Menurut beliau, sasaran itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan Persekutuan yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Visit Selangor Year akan diteruskan sehingga 2026 bagi menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Kita yakin Selangor mampu menyumbang kepada sasaran nasional dengan menarik sembilan juta pelancong,” katanya ketika berucap merasmikan Selangor Travel Fair 2026 di Pasar Seni di sini hari ini.
Beliau berkata, Selangor Travel Fair yang memasuki penganjuran tahun ketiga menjadi platform penting untuk memperkukuh promosi pelancongan negeri dengan menghimpunkan pemain industri daripada pelbagai sektor.
“Program seperti ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan negeri, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan rantaian ekonomi negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ng berkata, Tourism Selangor yang menyambut ulang tahun penubuhannya ke-25 tahun ini terus memainkan peranan penting sebagai peneraju promosi pelancongan negeri.
“Selama 25 tahun, Tourism Selangor menjadi antara penggerak utama pembangunan sektor pelancongan negeri dan terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan serta antarabangsa,” katanya. -KOSMO! ONLINE














