SEREMBAN – Kira-kira 700,000 penduduk di daerah Seremban bakal menikmati kemudahan Hospital Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang dijangka mula dibina pada 2028 sebelum beroperasi pada 2032.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital pakar major berkapasiti 500 katil itu akan memberi manfaat kepada penduduk di Nilai, Labu, Lenggeng, Seremban 2, Sendayan serta kawasan sekitar, selain mengurangkan tekanan terhadap Hospital Tuanku Ja’afar sebagai hospital rujukan utama Negeri Sembilan.
Beliau berkata, ketika ini proses pengambilan dan pertukaran guna tanah sedang dilaksanakan dan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.
“Sebaik proses tukar guna tanah seluas 50 ekar dimuktamadkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan penyediaan skop projek, reka bentuk, kerja awalan serta proses kelulusan sebelum pembinaan dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tapak projek berkenaan dan taklimat di Bandar Enstek di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek itu adalah hasil usaha berterusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan KKM sejak 2024.
Katanya, keperluan pembinaan hospital baharu itu mula dibangkitkan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Ahli Parlimen Port Dickson pada Mac 2024 sebelum projek Hospital Tuanku Ja’afar 2 diumumkan sebagai antara projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Tambah beliau, Bandar Enstek dipilih kerana kedudukannya yang strategik dalam koridor pertumbuhan Negeri Sembilan meliputi Nilai, Seremban 2, Sendayan dan Malaysia Vision Valley (MVV), selain mempunyai akses rangkaian lebuh raya yang baik. – KOSMO! ONLINE














