fbpx
AHMAD FAEZ (dua dari kiri) pada Program CSR SPAN di Masjid Gadong Jaya, Seremban.

Ahmad Faez sudah laksana 498 program

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Pelaksanaan 498 program dalam tempoh dua tahun lapan bulan sebagai Penyelaras Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Labu menjadi bukti kemampuan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ahmad Faez Abdul Razak di kerusi berkenaan.

Sepanjang tempoh tersebut, hampir RM1 juta manfaat telah disalur buat penduduk DUN Labu menerusi pelbagai ini­siatif kebajikan melibatkan bantuan anak sekolah, bantuan anak ­negeri, belia, pengantin baharu serta warga emas.

Daripada jumlah itu, seba­nyak RM153,000 diperuntukkan bagi bantuan anak sekolah dan bantuan anak negeri, manakala RM101,500 disalurkan menerusi bantuan belia berkahwin yang memberi manfaat kepada 202 pasangan pengantin.

Sebanyak RM433,400 bantuan keceriaan warga emas diagih kepada 2,167 penerima dalam usaha membantu golongan tersebut.

Ahmad Faez berkata, pelbagai program yang dilaksanakan secara konsisten itu memberi tumpuan kepada keperluan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, agama, bangsa mahupun fahaman politik.

“Setiap program dirancang berdasarkan kumpulan sasaran termasuk belia, pertengahan usia, warga emas serta komuniti pelbagai kaum dan agama bagi memastikan manfaat dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Saya berada di sini sebagai penyelaras dan sepanjang dua tahun lapan bulan, kita telah melaksanakan 498 program. Pada peringkat awal memegang jawatan ini, saya tidak menetapkan sasaran jumlah program, sebaliknya fokus utama adalah memastikan masyarakat mendapat manfaat serta bantuan yang diperlukan,” katanya pada siri walkabout Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Gadong Jaya dan Kampung Kilang Padi, di sini kelmarin.

Sejak dilantik sebagai Penyelaras DUN Labu, beliau mengamalkan pendekatan turun padang dengan mengenal pasti sendiri penduduk yang memerlukan bantuan tanpa menunggu mereka tampil membuat aduan.

“Tagline saya ketika menjadi penyelaras ialah jangan tunggu rakyat yang susah datang berjumpa saya, tetapi saya yang keluar mencari mereka.

“Sebab itu program kita laksana bersasar ikut keperluan belia, golongan pertengahan, warga emas serta masyarakat pelbagai agama dan kaum. Prinsip tidak membezakan latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik jadi pegangan utama dalam menyam­paikan khidmat buat penduduk DUN Labu,” katanya.

Katanya, setiap pengundi yang memerlukan bantuan akan dibantu tanpa mengira sokongan politik.

“Bagi saya, saya tidak kira dia parti mana. Saya tidak membezakan agama dan bangsa. Asalkan dia pengundi di DUN Labu, saya akan cuba bantu,” katanya.

AHMAD FAEZ (kanan) bertanya khabar serta mendengar perkongsian dan pandangan daripada masyarakat secara sesi sembang santai baru-baru ini.

Menurutnya, pendekatan itu turut melibatkan kunjungan ke kediaman penyokong parti lawan bagi menyampaikan bantuan kebajikan apabila diperlukan.

“Saya pernah masuk ke rumah orang kuat Bersatu untuk memberikan bantuan. Pada mulanya mereka tidak begitu selesa tetapi saya tetap masuk kerana saya tahu mereka memerlukan bantuan. Bagi saya, itu bukan satu masalah,” katanya.

Selain bantuan berbentuk kewangan, ujarnya, aspek bantuan peralatan keperluan hari­an turut menjadi keutamaan sepanjang tempoh dia menjalankan tanggungjawab sebagai penyelaras.

“Hampir 330 katil pesakit te­lah disalurkan kepada penduduk DUN Labu yang memerlukan, selain bantuan kerusi roda yang jumlahnya tidak lagi dikira.

“Kalau dibahagikan mengikut bulan, mungkin setiap tiga hari kita mengeluarkan sebuah katil pesakit. Kerusi roda pula saya sudah tidak terkira jumlahnya.

“Kita mempunyai prosedur tertentu, namun sebaik menerima maklumat, kita akan berusaha menghantar bantuan secepat mungkin. Kes yang memerlukan tindakan segera akan diberikan keutamaan,” katanya.

Jelasnya, selepas membina kerjaya dan menikmati kejayaan dalam bidang profesional, Ahmad Faez memilih untuk menceburi politik atas satu matlamat iaitu mencari ruang lebih luas untuk membantu masyarakat.

Katanya, pengalaman sebagai pemaju perumahan sejak usia 22 tahun banyak membuka matanya terhadap keperluan rakyat, khususnya masyarakat di kampung halamannya itu.

“Saya seorang profesional dan telah menjadi pemaju perumahan sejak berusia 22 tahun. Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun juga tahu bahawa saya tidak perlukan jawatan ini, tetapi saya perlukan satu platform untuk membantu orang kampung saya.

“Saya berasal dari sini dan inilah salah satu cara saya membalas segala rezeki yang Allah kurniakan dengan mengembalikannya kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Ahmad Faez, politik baginya bukan sekadar mengenai kedudukan, tetapi tanggungjawab untuk turun padang dan mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN