KLANG – Impian seorang juruteknik penyaman udara mengikat tali pertunangan esok tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di persimpangan Eco Grandeur, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Kuala Selangor, kelmarin.
Lebih memilukan, dalam kemalangan pukul 11 pagi itu, mangsa, Allahyarham Mohammad Amirul Mohammad Jais, 35, dalam perjalanan bagi menguruskan tempahan khemah.
Kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss hilang kawalan dan terbabas memasuki bahagian bawah lori serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ibu Mohammad Amirul, Jumaah Hashim, 59, dengan segala persiapan termasuk dulang hantaran sedang disiapkan bagi majlis pertunangan membabitkan anak sulungnya daripada lima beradik itu.
“Arwah bersungguh-sungguh membuat persediaan dan telah melunaskan bayaran katering dan tempahan khemah.
“Isnin lalu adalah hari terakhir dia berada di rumah untuk menyediakan dulang hantaran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Serdang, di sini, semalam.
Bercerita lanjut, Jumaah memaklumkan Julai dipilih sebagai bulan bahagia bagi anaknya susulan arwah dan bakal tunangnya lahir pada bulan tersebut.
Ujarnya, mereka dijadualkan bertunang esok manakala majlis akad nikah pada Julai tahun depan.
“Pada hari kejadian, arwah tidak bekerja dan dalam perjalanan untuk bertemu rakannya bagi uruan tempahan khemah. Namun, perancangan yang Maha Pencipta lebih baik, Allah lebih sayangkan dia,” jelasnya.
Tambahnya, Allahyarham yang bekerja sendiri sebagai juruteknik penyaman udara merupakan anak yang sangat rapat dengan keluarga dan sentiasa membantu adik-adiknya.
“Kalau ada kerosakan di rumah, arwah akan gunakan Kemahirannya untuk membaiki. Dia juga sentiasa mengambil berat terhadap adik-adiknya terutama yang masih bersekolah.
“Kehilangannya amat memberi kesan kepada kami kerana dia seorang anak yang baik dan sentiasa ada bersama keluarga,” katanya.














