“Terima kasih LRT3.” Kata-kata itu mungkin kedengaran biasa bagi orang lain, tetapi amat bermakna buat penduduk Klang, Shah Alam dan kawasan sekitarnya.
Apa tidaknya, sejak sistem Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam atau LRT3 mula beroperasi pada Isnin lalu, ramai dalam kalangan mereka yang sebelum ini berulang-alik setiap hari untuk ke tempat kerja di ibu negara menarik nafas lega.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Johan Setia di Klang dan Bandar Utama, Petaling Jaya itu sepatutnya beroperasi pada tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat beberapa isu berkaitan yang dikenal pasti semasa fasa ujian serta pentauliahan (T&C).
Pada hari pertama, pihak Prasarana merekodkan lebih 60,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu dan jumlah harian penumpang dijangka meningkat kepada 117,708 orang untuk lima tahun akan datang.
Kemudahan tersebut dijangka memberi manfaat kepada dua juta penduduk di kawasan barat Lembah Klang. Dengan adanya LRT3, orang Klang dan Shah Alam tidak perlu lagi menempuh kesesakan teruk terutama di Lebuh Raya Persekutuan (tanpa tol) untuk ke pejabat di Kuala Lumpur.
Penangan LRT3, laluan-laluan utama di Klang dan Shah Alam dikatakan lancar. Ramai yang seronok dapat sampai cepat ke pejabat.
Tetapi ada mulut-mulut netizen yang cakap itu fenomena biasa pada hari Isnin, sebab Rabu baru sesak. Jadi kita tunggulah beberapa minggu lagi baru boleh buat perbandingan sama ada kebetulan atau LRT3 betul-betul menjadi penyelamat warga Klang dan Shah Alam.
Bermula 1 Julai, caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) telah dimansuhkan. Langkah itu bertujuan untuk meringankan beban orang ramai yang terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Jumlah tersebut mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, namun besar ertinya bagi mereka yang tinggal di luar bandar atau kawasan yang mempunyai mesin ATM bank tertentu sahaja.
Bermula 1 Julai juga, isi rumah yang layak boleh memohon rebat RM200 apabila membeli peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga terpilih menerusi inisiatif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
Rebat ini terpakai bagi peralatan yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang yang diperakui oleh Suruhanjaya Tenaga atau Suruhanjaya Tenaga Sabah.
Bulan Julai juga ibarat mengembalikan sinar kepada pemilik-pemilik kenderaan diesel. Bermula semalam, pemilik kenderaan diesel persendirian yang memiliki MyKad dan lesen memandu di seluruh negara layak menikmati Budi Diesel berharga RM2.10 seliter.
Sebelum ini mereka terpaksa membayar harga tinggi sehingga RM6 seliter dan menyebabkan ada pemilik kenderaan yang terpaksa menggantung kunci pikap.
Penurunan harga diesel juga memberikan kegembiraan buat jurujual kenderaan pikap yang sudah beberapa bulan hilang pelanggan.
Walaupun ada yang menyindir sebagai ‘gula-gula’ menjelang pilihan raya, namun sekurang-kurangnya masih ada rakyat yang menadah tangan memanjat rasa syukur menghargai ‘pemberian’ tersebut.














