PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengakui teruja apabila berpeluang bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kunjungan bersama tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi hantaran di Instagram, Bella berkongsi rasa syukur kerana berpeluang bertemu Tun Dr. Mahathir yang menitipkan nasihat berharga kepada beliau dan Syed Saddiq mengenai kehidupan berumah tangga.
“Alhamdulillah, dapat berjumpa Tun Dr. Mahathir. Terima kasih atas nasihat yang sangat bernilai buat kami berdua tentang membina rumah tangga yang bahagia dan berkekalan.
“Tun M dan Tun Hasmah dah 70 tahun bersama. Masya-Allah, semoga menjadi bekalan sepanjang perjalanan hidup kami, Amin,” katanya.
Dalam hantaran sama, Bella turut mengakui dia amat terpesona ketika bertemu Tun Dr. Mahathir secara bersemuka.
“Tak sangka boleh ‘star struck’ teruk. Perasaan Bella tadi sama macam masa jumpa Lee Min Ho dan Afgan. Saya mengagumi Tun sejak kecil. Rasa tak percaya dapat bersemuka dengan Tun. Terima kasih, Syed Saddiq,” katanya.
Perkongsian itu turut dibanjiri reaksi positif dari pengguna media sosial yang mendoakan kebahagiaan pasangan bergelar BASS itu.
“Dari air muka Tun nampak yang dia sangat bangga lihat apa yang telah Syed Saddiq lakukan pada hari ini,” komen @adrianedy.
“Pergi bagi kad jemputan kahwin ke tu,” tulis seorang lagi pengguna.
“Terharunya. Video last sekali tu boleh tembus ke hati. Bertuah bella dapat berjumpa dengan kebanggaan Malaysia,” komen @hilaryharisson.
“Dulu Tun M didik Syed Saddiq masa mula-mula masuk dalam politik, membawa sehingga sekarang didikannya. Now giliran BA pula dapat nasihat dari Tun M dan Tun Hasmah. Untung BASS,” komen @faridz.latib. – KOSMO! ONLINE














