PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan menerima nasihat dan tip rumah tangga daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan bersama tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Menurut Bella, 32, pertemuan tersebut disifatkan sebagai salah satu momen yang berharga buat dirinya dan Syed Saddiq.
“Alhamdulillah, dapat berjumpa Tun Dr. Mahathir.
“Terima kasih atas nasihat yang sangat bernilai buat kami berdua tentang membina rumah tangga yang bahagia dan berkekalan.
“Tun M dan Tun Hasmah sudah 70 tahun bersama. Masya-Allah, semoga menjadi bekalan sepanjang perjalanan hidup kami, amin,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Pemilik nama penuh Dayang Nabellah Awang Astillah itu bagaimanapun tidak berkongsi lanjut tujuan dia dan Syed Saddiq bertemu dengan negarawan ulung itu.
Dalam pada itu, dia juga mengakui terlalu mengagumi keperibadian Tun Mahathir sepanjang tempoh pertemuannya mereka.
“Tak sangkap boleh ‘star struck’ teruk. Perasaan saya sama ketika jumpa Lee Min-ho dan Afgan.
“Saya sangat mengagumi beliau sejak kecil.
“Bertemunya secara peribadi terasa mimpi. Terima kasih Syed Saddiq,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai respons termasuk mendakwa Bella dan Syed Saddiq bertemu Tun Mahathir bagi menyerahkan kad undang perkahwinan mereka yang bakal diadakan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE














