JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia mengundang perhatian orang ramai apabila membawa sebuah kotak dipenuhi wang kertas berjumlah 795 juta rupiah (RM179,756) untuk membeli emas.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan wanita berbaju kurung itu membawa kotak ke sebuah kedai menjual barang kemas.
Pemilik kedai bagaimanapun terkejut apabila kotak itu mengandungi wang bernominasi 100,000 rupiah (RM23) yang berjumlah 795 juta rupiah.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.3 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Mereka kerja apa sampai ada duit sebanyak itu?” kata seorang netizen.
“Jangan rakam muka, tidak takut kena rompak?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














