PETALING JAYA – Pahang muncul sebagai negeri destinasi paling popular dalam kalangan pelancong domestik tahun lalu apabila merekodkan 11 juta perjalanan, mengatasi Selangor (10.6 juta) dan Perak (10.4 juta).
Data Survei Pelancongan Domestik Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), turut menunjukkan sektor pelancongan domestik negara terus berkembang kukuh apabila perbelanjaan pelawat meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion berbanding RM106.7 bilion pada 2024.
DOSM dalam kenyataan berkata, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan perbelanjaan kedua-dua kategori pelawat iaitu pelancong dan pelawat harian yang masing-masing meningkat 14.6 peratus serta 12.2 peratus.
Katanya, pelancong terus menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan perbelanjaan domestik dengan sumbangan sebanyak 59.5 peratus.
“Jumlah pelawat domestik turut meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada 290.1 juta orang pada tahun 2025 berbanding 260.1 juta orang pada tahun sebelumnya.
“Purata tempoh penginapan juga meningkat kepada 2.56 malam berbanding 2.49 malam pada 2024, sekali gus mencerminkan kecenderungan rakyat untuk bercuti lebih lama di destinasi dalam negara,” kata kenyataan itu
Berdasarkan grafik DOSM, sebanyak 332.2 juta perjalanan domestik direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat 11.4 peratus berbanding 297.9 juta perjalanan pada tahun sebelumnya.
Dari segi tujuan perjalanan, melawat saudara-mara dan rakan kekal menjadi sebab utama rakyat Malaysia mengembara dalam negara dengan sumbangan 35.6 peratus, diikuti aktiviti membeli-belah (24.6 peratus), percutian atau mengisi masa lapang (20.6 peratus), hiburan dan menghadiri acara khas atau sukan (6.9 peratus) serta rawatan perubatan dan penjagaan diri (5.8 peratus).
Analisis data turut memeperlihatkan corak perbelanjaan bagi aktiviti membeli-belah menyumbang bahagian terbesar iaitu 36.9 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelawat domestik diikuti makanan dan minuman (16.1 peratus), pembelian bahan api kenderaan (13.5 peratus), penginapan (10.7 peratus) dan perbelanjaan isi rumah yang dilawati (7.6 peratus).
DOSM menjelaskan, prestasi positif itu disokong oleh peningkatan perjalanan ketika musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas selain cuti persekolahan.
Dalam kenyataan sama, DOSM berkata, kempen Tahun Melawat Negeri, penganjuran acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan di Sabah dan Gawai Dayak di Sarawak serta pelbagai konsert, festival dan kejohanan sukan turut merangsang pergerakan pelancong domestik.
Tambahnya, penganjuran beberapa mesyuarat ASEAN dan program berkaitan sepanjang tahun lalu turut meningkatkan perjalanan perniagaan sekali gus menjana permintaan terhadap penginapan, pengangkutan serta perkhidmatan pelancongan.
Dari aspek corak perjalanan, pengangkutan darat terus menjadi pilihan utama dengan menyumbang 97.5 peratus daripada keseluruhan perjalanan domestik.
Bagi penginapan pula, rumah saudara-mara dan rakan masih menjadi pilihan utama dengan sumbangan 56.2 peratus, namun penggunaan penginapan berbayar meningkat kepada 43.8 peratus berbanding 39.6 peratus pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














