PETALING JAYA – PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah memperuntukkan lebih daripada RM4 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif yang memperkukuh kejiranan serta memperkasa masyarakat di kawasan Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Ia sebahagian daripada agenda Warisan KL, iaitu sebuah inisiatif pemulihan bandar berteraskan warisan dan budaya di peringkat nasional, bertujuan menghidupkan semula jiwa Kuala Lumpur melalui usaha pemuliharaan sera peremajaan bangunan serta kawasan bersejarah.
Salah satu inisiatif utama di bawah usaha ini ialah Program Geran Komuniti Merdeka 118.
Diperkenalkan pada 2021 dengan kerjasama Think City, program ini menyediakan pembiayaan dan sokongan kepada organisasi komuniti setempat, perusahaan sosial serta kumpulan komuniti bagi merealisasikan idea dan inisiatif yang digerakkan bersama oleh masyarakat setempat.

Kini memasuki kitaran ketiga, program ini telah menyokong 30 projek yang diterajui komuniti di sekitar kawasan kejiranan Presint Merdeka 118.
Antara penerima ialah SilverLab Project Enterprise, yang telah melaksanakan program literasi digital dan kemahiran kreatif untuk warga emas dari Perumahan Awam Jalan Hang Tuah.
Inisiatif tersebut mencapai kemuncaknya melalui pameran awam selama sebulan di GM Bukit Bintang, mempamerkan karya digital yang dihasilkan bersama para peserta, dan telah berjaya menarik hampir 5,000 pengunjung.
Satu lagi penerima geran, Wehn Legacy pula meneruskan usahanya memperkasa wanita B40 dari beberapa perumahan awam di Pudu menerusi bengkel latihan pembuatan kraf dan keusahawanan.
Program ini telah meningkatkan kemahiran 15 penduduk wanita, yang kemudiannya berpeluang menyertai dua pasar komuniti untuk mempamerkan dan menjual hasil kraftangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Izwan Ibrahim berkata, seiring dengan perkembangan Presint Merdeka 118, pihaknya akan terus mengutamakan keperluan dan aspirasi komuniti di sekitarnya agar mereka terus menjadi sebahagian daripada pembangunan serta masa depan presint berkenaan.
“Dengan pembukaan lebih banyak tarikan seperti Muzium Tekstil Merdeka, Look at 118, 118 Mall dan The View at 118 dalam beberapa bulan akan datang, kami berharap lebih ramai orang akan mengunjungi kawasan ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada komuniti setempat.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan strategik dan komuniti bagi memastikan apabila Presint Merdeka 118 terus berkembang, kawasan kejiranan di sekitarnya akan turut menikmati manfaat serta berkembang bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














